..kapal dagang dari Melaka
mudik ke hulu sungai Acheh
selamat datang ke blog hamba
sudilah komen terima kasih..

Wednesday, May 30, 2012

MAJLIS SAMBUTAN 500 TAHUN KAMPUNG MELAKA PINDAH

Pada 25 Disember 2011 yang lalu kira-kira jam 1100 pagi hamba bergegas dari Shah Alam ke Kampung Melaka Pindah Melaka untuk menghadiri majlis sambutan 500 tahun Kampung Melaka Pindah yang dianjurkan oleh jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan kerajaan negeri. Hamba tiba jam 1400 petang dan terus ke masjid Ubudiah untuk solat Zohor. Selepas solat hamba pergi ke Balai Raya dan kawasan Sekolah Melaka Pindah dimana majlis sambutan akan diadakan. Penduduk kampung sudah ramai hadir menunggu ketibaan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Rustam yang akan merasmikan majlis dan hadir ke tapak-tapak makam untuk sedekah alfatehah dan doa.




Masjid Ubudiah Kampung Melaka Pindah. Sudah tiada ciri-ciri masjid kelasik seperti Masjid Kampung Hulu kerana telah dirobohkan dan dibina masjid seperti sekarang ini.


Bahagian ruang utama solat.




Kemudian hamba ke Sekolah Kebangsaan Melaka Pindah di mana acara utama akan di adakan . Kelihatan Pengerusi jawatan kuasa Majlis Sambutan 500 tahun Kampung Melaka Pindah berbaju putih , setanjak dan bersamping. Kami menunggu Ketua Menteri Melaka Datuk Haji Mohd Ali Rustam tiba. Sementara menunggu ketibaan YAB Ketua Menteri ada kumpulan kugiran menyanyi secara live. Boleh tahan lahh...

YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam tiba kira-kira jam 3:30 petang.


YAB melawat makam Datuk Paduka Seri Maharajalela untuk acara doa dan sadaqah Alfatehah.
Datuk Paduka Seri Maharajalela adalah salah seorang pegawai istana di zaman Kesultanan Melayu Melaka dan menjadi tunggak pembukaan Kampung Melaka Pindah. Mengikut penduduk kampung Melaka Pindah ini ada tiga lagi pemimpin silam yang mengikuti Datuk Paduka Seri Maharajalela iaitu Panglima Datuk Debor , Panglima Datuk Paduka Tuan dan Panglima Datuk Si Kudung.

Selepas itu YAB Datuk Seri menunggang basikal untuk ke perigi yang digunakan oleh penduduk kampung untuk mendapat bekalan air bersih. Telaga tersebut di beri nama Telaga Bangkung telah lama digunakan oleh penduduk asal kampung Melaka Pindah ini. Sebaik sahaja YAB mengayuh basikal hamba bergegas mengikut jalan pintas untuk sampai ke telaga tersebut.
YAB tiba di Telaga Bangkung.

YAB Datuk Seri sempat cuci muka dengan air telaga ni. Kemudian selepas YAB Datuk Seri mula melangkah keluar dari kawasan telaga hamba bergegas pula keluar ke jalan utama untuk mengikut ke tempat berikut pula. Yang menjadi masalah hamba ni berjalan kaki sedangkan mereka yang mengikuti rombongan YAB berbasikal, bermotosikal malahan wartawan-wartawan pula menaiki kenderaan 4x4 untuk mengambil gambar. Tempat yang nak dituju pula agak jauh untuk berjalan kaki atau berlari. Mahu tak mahu hamba terpaksa meminta tolong pemuda tempatan yang menunggang motosikal secara beramai-ramai untuk ke tempat-tempat lawatan YAB. Hamba ingin sampaikan ucapan terima kasih kepada pemuda yang sudi menumpangkan hamba menaiki motoikasl beliau. Hamba terlupa nak tanya nama. Maaf banyak-banyak.

Kumpulan YAB yang berbasikal mendahului dan kami yang bermotosikal mengikut dari belakang. Kami kemudian masuk ke dalam lorong-lorong kampung kira-kira 10 minit perjalanan berbasikal.

Kami ke makam Panglima Datuk Debor untuk sedekah doa dan AlFatehah. Panglima Datuk Debor merupakan pengikut Datuk Paduka Seri Maharajalela. Beliau bersama Datuk Paduka telah membuka Kampung Melaka Pindah ini. Kemungkinan besar sehingga akhir hayat beliau telah tinggal di kampung ini. Selepas beliau meninggl dunia beliau telah di makam kan di sini jauh sedikit dari makam Datuk Paduka Seri Maharajalela.


Terdapat beberapa nesan tanda terdapat kuburan di kawasan sebelah makam Panglima Datuk Debor yang hamba kira adalah keluarga beliau. Selesai lawatan ke makam kami keluar semula ke jalan utama dan ke sekolah Melaka Pindah untuk acara seterusnya.
Di dalam dewan sekolah majlis dimulakan dengan tarian dan silat melayu diiringi alunan muzik langsung. Banyak yang diucapkan oleh wakil rakyat dan YAB  Datuk Seri sendiri. Hamba tak duduk sehingga majlis tamat kerana perlu pulang. Beberapa meter dari Sekolah Kebangsaan Melaka Pindah kemudian hamba singgah di tanah perkuburan Melaka Pindah untuk melihat satu lagi makam lama. Kemudian itu baru hamba bergegas pulang.
InsyaAllah jumpa lagi di lain artikel. Nak siapkan artikel ini pun dah masuk pertengahan tahun 2012. Punya lah lama ambil masa. Sibuk kerja laaa...