..kapal dagang dari Melaka
mudik ke hulu sungai Acheh
selamat datang ke blog hamba
sudilah komen terima kasih..

Sunday, November 11, 2012

Seminar Sejarah Melayu Dari Catatan Portugis

Salam

Melalui laman sesawang Persatuan Sejarah Malaysia hamba mendapat tahu akan seminar seperti tajuk diatas yang akan diadakan pada sabtu 10 November 2012 bersamaan          25 ZulHijjah 1433 jam 10 pagi di tingkat empat Persatuan Sejarah Malaysia. Dari rumah hamba bergegas untuk datang. Hamba memang sudah lewat tetapi.. ah masuk ajelah kurang-kurang dapat tahu apa yang sedang dibincangkan.

Panel jemputan ialah Tuan Haji Yahya pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah menuntut di universiti Portugal dan akan membentangkan kajian beliau mengenai catatan-catatan Portugis mengenai sejarah Melayu dan sejarah Melaka.

Dari penyampaian beliau hamba rasa banyak yang hendak dipersoalkan tetapi disebabkan masa dan hadirin yang lebih ramai bertanya jadi hamba batalkan niat sahaja. Persoalan mengenai orang melayu dan kerajaan melayu masih banyak yang perlukan kajian terperinci. InsyaAllah di lain seminar hamba akan hadir.
Selepas jamuan makan hamba ke bahagian pinjaman buku-buku . Hendak pinjam buku tetapi bila difikirkan kembali buku-buku yang ada di rumah yang tidak habis dibaca dan makin menimbun , hamba batalkan niat aje. Nanti lain kali datang lagi. Nak membaca sekarang ini memang malas. Ya Allah !!

Hamba keluar dan terus ke pejabat. Hujan dah mula rintik-rintik. Kalau hendak balik rumah jauh lagi ni. Baik pergi pejabat dan selesaikan sedikit kerja yang tertangguh. Peliknya hujan tak jadi. Hendak keluar makan di kedai bila dikenangkan basah kena hujan, .. tak jadi pergi makan pulak. Lalu hamba buat air panas aje di pejabat. Kerja pun dapat bereskan. Sehinggalah jam 5 petang sebaik aje hamba padam komputer dan menyarung jaket secara tiba-tiba hujan menderu turun. Hendak tak hendak hamba redah aje. Hidupkan enjin moto dan panaskan secukupnya lalu membelah titisan air hujan. Hamba sebenarnya teringat untuk pergi ke suatu tempat yang sudah lama teringin untuk dilawati. Lalu hamba mengambil peluang yang ada untuk menyusuri Jalan Ampang Kuala Lumpur.
 
Jalan Ampang menghala ke Ampang dan yang menghala ke pusat bandaraya di hadapan Saloma Bistro.
Hamba membelok ke arah tanah perkuburan Islam jalan Ampang.
Pintu gerbangnya.
Mari masuk ke dalam.
Kawasan sekitar pusara Jalan Ampng ini bersih dan nampaknya dijaga rapi.
Hamba mencari pusara Allahyarham Teuku Zakaria ibni Teuku Nyak Putih atau lebih dikenali Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Selepas 40 tahun inilah kali pertama hamba menjejakkan kaki ke pusaranya. Masa hamba kecil hamba sangka pusara P Ramlee di Masjid Negara, rupanya di sini. Alhamdulillah sampai juga hajat di hati. AlFatehah.
 
Semua orang kenal siapa P Ramlee.  Seniman tersohor tanah air.  Peranan beliau di persada seni negara amat dikagumi.  Tak hairan ribuan orang ramai mengiringi jenazah beliau ketika disemadikan.  Nilai seni beliau amat tinggi.  Filem-filem beliau masih lagi ditonton sehingga kini.   Tetapi generasi selepas hamba adakah akan kenal siapa             P Ramlee ?

Hamba ada melawat beberapa pusara lagi yang nesannya amat luar biasa besar dan berukir indah. Tetapi hamba ditegur oleh penjaga kawasan kubur kerana menceroboh dan tidak ada surat kebenaran untuk menziarah. Minta maaf lah . Hamba pulang dulu.   Hujan lagi ! Lenjunn..!